Assalamualaikum.....



Pastinya sahabat semua maklum mengenai rukun iman ke enam yang wajib untuk kita beriman dan beramal dengannya iaitu percaya kepada qada’ dan qadar yakni kepada ketentuan dan sukatan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Soal mati, jodoh, rezeki semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfuzh sepertimana hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi:


‘Suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi shallallaahu’alaihi wa sallam lalu beliau bersabda :‘Hai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat (artinya): Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya kamu dapati Dia ada di hadapanmu, bila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan bila kamu minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahwa umat, seandainya mereka bersepakat untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan dapat memberimu manfaat apa-apa kecuali dengan apa yang telah Allah taqdirkan buatmu, dan seandainya mereka bersepakat untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu sedikitpun kecuali dengan apa yang Allah telah taqdirkan atasmu, pena-pena telah terangkat, dan lembar tulisan pun telah kering.’

Tidak saya berniat untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai qada’ dan qadar, tetapi sahabat boleh klik di sini untuk penjelasan lanjut mengenai rukun iman ke enam ini. Perkara yang ingin saya bincangkan di sini adalah bagaimana kita beramal dengan rukun iman ini.

Iman dan Amal

Acapkali apabila kita di uji kita disuruh untuk bersabar, selain bersabar Allah swt juga menganjurkan untuk kita bersolat (Al-Baqarah:45). Apabila kita bersabar, ia dikatakan sebagai sebahagian daripada iman,pernahkah sahabat persoalkan apakah kaitannya dengan iman?

Sabar dan Iman

Melalui jalan sabar ia membuka pintu untuk kita menerima dan redha pada ketentuan Allah swt yakni rukun iman yang ke enam.Tanpa sabar pastinya setiap diri yang di uji akan melatah dan tunduk pada pujukan dan hasutan syaitan yang durjana. Ketika diri di ujilah,segala bisikan syaitan akan cuba meracuni minda, pelbagai andaian yang timbul, kalaulah begini, kalaulah bagitu sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Hati juga mula merasa gelisah, solat tidak dirasakan khusyuk lagi dan kehidupan seluruhnya menjadi tidak menentu hanya kerana ujian yang menimpa. Maka Allah swt tekankan bahawa ‘sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;’ (Al-Baqarah:45) di dalam ayat yang sama.

Ini kerana apabila merasa beban ujian dari Allah swt semakin sukar dirasakan untuk menghadirkan hati dan memperoleh khusyuk ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang semakin rakus cuba untuk melemahkan lagi iman di hati.

Oleh itu, seharusnya kita sentiasa perlu menyedari keperluan untuk beramal dengan rukun iman ke enam ini dan bukan sekadar cukup untuk menghafalnya sahaja dari kecil sehingga dewasa tanpa ada sebarang tambahan nilai kepadanya. Moga dengan itu, apabila kita diduga oleh Allah swt kita sedar dan tidak terjerumus ke lembah yang hina.

Tiada siapa yang dapat lari dari ujian,bezanya adalah bagaimana seseorang hamba itu berdepan dan menghadapi ujian tersebut sepertimana Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

‘Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).’ (Al-Baqarah:214)



Berpegang teguh kepada tali Allah swt

Hanya Allah swt yang mampu memberikan kekuatan kepada hati yang sememangnya dimilikiNya. Maka,apabila kita diuji oleh Allah swt seharusnya kita kembali merintih kepada Maha Pengasih dan bermuhasabah keadaan diri. Jangan pernah berputus asa kerana qada’ dan qadar yang ditetapkan pasti ada hikmahnya kerana Allah swt tidak akan menzalimi hamba-hambaNya sepertimana janjiNya dalam al-quran(Al-Imran:108).

Walaupun hakikat cubaan amat pahit untuk ditelan namun demi kebahagiaan yang lebih hakiki kita perlu untuk terus berpegang teguh kepada tali Allah swt, telusurilah perjalanan Rasulullah saw dan para sahabat yang hanya bertemankan jalan berduri dan bandingkanlah keadaan diri sendiri. Jangan pernah menipu dan mengaku bahawa ‘akulah orang yang paling malang di dunia’ kerana tiada yang lebih malang dari mereka yang jauh dari rahmat Allah swt yang dijanjikan azab yang kekal dan tidak terperi hebatnya.(Al-Imran:177)

Yakinlah ada pelangi di hujung jalan itu

Oleh itu marilah wahai sahabat semua, kita sematkan dan tambahkan keyakinan kita kepada rukun iman ke enam ini. Ketahuilah bahawa syurga yang penuh nikmat kebahagiaan dan kekal selama-lamanya itu hanya dijanjikan kepada meraka yang benar-benar layak sahaja.Dan jalan untuk melayakkan diri ke sana adalah melalui dugaan-dugaan yang diberikan di sepanjang kehidupan ini.

Walau apa jua dugaan yang kalian hadapi, ketahuilah Allah kan pasti sentiasa di sisimu, tersenyum melihat hambaNya yang sering bersyukur dan redha pada qada dan qadar Nya. Maka, tenanglah wahai jiwa-jiwa yang diuji.

Wallahu’alam



sumber: iluvislam.com /
Lailatulema www.tips-fb.com
0 Responses
Related Posts with Thumbnails